Peringatan Rasulullah s.a.w berkenaan perihal ZINA; “Pasti akan ada dari umatku suatu
kaum yang (berusaha) menghalalkan zina, sutera, khamar (minuman keras) dan
alat-alat muzik.” (HR Bukhari) Maksud hadis adalah
akan ada di antara umat Nabi Muhammad s.a.w ini beberapa kaum yang sudah tidak
kuasa lagi menahan hawa nafsu. Akibat tidak mampu menahan nafsu ini, mereka
begitu meremehkan beberapa larangan di atas sehingga merasakan seolah-olah
ianya halal.
Kita memahami hadis tersebut sedemikian kerana sesiapapun tentu
memahami bahawa perzinaan itu tidak halal atau haram hukumnya. Hanya kerana
kelemahan akalnya sahaja ia mahu tunduk dan bersujud di hadapan syaitan dengan
melakukan perzinaan. Disebabkan oleh kelemahan hatinya sehingga ketika muncul
suara yang mengingatkan buruknya perzinaan, ia tidak kuasa untuk meloloskan
diri dari lubang lumpur perzinaan.
Allah s.w.t. telah berfirman dalam (Surah Al-Israa’; Ayat 32; Juzuk 15) yang bermaksud: “Dan
janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan
yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” Ayat ini cukup jelas menyatakan bahawa Allah melarang manusia
menghampiri zina. Maksud menghampiri zina adalah menempuh jalan yang boleh
mendekatkan kita ke arah perzinaan. Dengan menggunakan mafhum `muwafaqah',
kalau menghampiri sahajapun dilarang maksudnya kalau menempuh jalan-jalan dan
faktor-faktor yang menuju kepada perzinaan sahajapun dilarang apalagi melakukan
perbuatannya!
Di dalam tafsir Kalamul Mannan, Syeikh Abdur Rahman Nashir As
Sa'di berkata: “Larangan Allah
untuk menghampiri zina itu lebih tegas daripada sekadar melarang perbuatannya,
kerana Allah melarang semua perkara yang menjurus kepada perzinaan dan
mengharamkan semua faktor-faktor yang mendorong kepadanya.”
Selanjutnya Syeikh Abdur Rahman menjelaskan: “Al-Faahisyah di
dalam ayat di atas adalah sesuatu yang dianggap sangat buruk dan keji oleh
Syari'at, oleh akal sihat dan fitrah manusia kerana ia
- mengandungi pelanggaran terhadap hak Allah
- merampas hak wanita
- mencemarkan hak keluarganya atau suaminya
- merosakkan kehidupan rumah tangga kerana menyebabkan bercampurnya (kacaunya) nasab keturunan.”
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan
juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan
tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan
yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa
melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; Akan digandakan baginya
azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam itu dengan
menerima kehinaan, - Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan
amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat)
kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.” (Surah Al-Furqan; Ayat 68-70; Juzuk 19)
Islam menyediakan garis panduan untuk
umat manusia menyelamatkan diri daripada terjerumus ke kancah perzinaan. Dalam
al-Quran, Allah SWT memerintahkan kaum lelaki menundukkan pandangan mereka
daripada melihat perkara yang haram. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah
(wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan
mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat
Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.” (Surah An-Nur; Ayat 30; Juzuk 18)
Imam al-Nawawi menyebut tidak menjadi
kesalahan bagi lelaki Muslim melihat wajah wanita jika tidak disengajakan
tetapi pandangan kali kedua dan seterusnya tidak dibenarkan kecuali untuk
tujuan yang dibenarkan seperti meminang wanita, menjadi saksi perbicaraan dan
urusan jual beli. Dalam hadis lain Rasulullah SAW berpesan kepada Ali:
“Wahai Ali, janganlah engkau mengikuti satu pandangan dengan pandangan yang
lain. Sesungguhnya untukmu pandangan yang pertama dan bukan untukmu pandangan
kali kedua.” (hadis riwayat Abu Daud, dinilai Hasan oleh Albani)
Kenyataan ini dijelaskan oleh
Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah
menentukan bahagian anak Adam untuk terjadinya zina, tiada siapa yang dapat
mengelak daripadanya. Zina kedua-dua mata ialah penglihatan dan zina lidah
ialah kata-kata dan hati berkehendak dan ingin merasai (zina). Maka kemaluanlah
yang menjayakannya atau mengelak daripadanya”. (hadis riwayat Abu Dawud,
dinilai sahih oleh Albani)
Zina mata terjadi dengan melihat apa
yang Allah haramkan, zina lidah pula berlaku dengan mengeluarkan kata-kata yang
haram dan zina hati terjadi apabila timbul keinginan untuk melakukan zina yang
sebenar. Pembahagian zina ini disebut oleh Rasulullah SAW kerana ia adalah
mukadimah kepada zina hakiki. Maka penentuannya diukur oleh kemaluan. Jika
nafsu menguasai diri, berlakulah zina, tetapi jika nafsu berjaya dijinakkan,
zina dapat dielakkan.
Justeru, menundukkan pandangan adalah
jalan keluar untuk mengelak diri daripada mukadimah zina seterusnya zina yang
nyata. Tidak dinafikan kadangkala pandangan yang dipelihara terlepas lalu mata terlihat
apa yang dilarang, tetapi Allah s.w.t Maha Mengetahui akan kelemahan hamba-Nya.
Lantaran itu Islam menyediakan ruang untuk insan mencuci ‘dosa kering’ itu.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bertakwalah kamu kepada Allah di mana
kamu berada dan gantilah sesuatu dosa itu dengan pahala, nescaya ia (pahala)
akan menghapuskannya (dosa) dan berakhlaklah terhadap manusia dengan akhlak
yang mulia.” (hadis riwayat Tirmizi)
No comments:
Post a Comment