Monday 12 November 2012

Sunnah Rasulullah s.a.w dalam Menyambut Kelahiran Bayi


Terdapat 7 sunnah Rasulullah s.a.w dalam menyambut kelahiran bayi. Sunnah yang pertama adalah mengazankan bayi. Nabi s.a.w mengambil berat tentang bayi yang baru lahir dari rahim ibunya dengan mengalunkan azan ke telinganya supaya sejak lahir lagi bayi tersebut didendangkan dengan Zikrullah & ia menjadi pelindungnya daripada syaitan yang direjam.  Nabi s.a.w apabila mendapat tahu tentang kelahiran Hassan, baginda bergegas mendapatkannya lalu mengalunkan azan ke telinga kanannya & iqamah ke telinga kirinya. Baginda bersabda bahawa bayi yang diazankan takkan diganggu oleh ‘ummu sibyan’ (sejenis syaitan yang dikhaskan untuk menganggu bayi yang baru lahir).

Sunnah kedua adalah bertahnik. Diriwayatkan oleh Aishah bahawa bayi yang baru lahir biasanya akan dibawa kepada Nabi s.a.w. Bayi bapa tersebut akan membawanya kepada Nabi s.a.w sebelum disusukan oleh ibunya supaya nabi boleh mentahnikannya dan memberkatinya.

Sunnah ketiga adalah menamakan bayi pada hari ke-7 selepas kelahirannya. Nabi s.a.w bersabda bahawa “namakan mereka (bayi) dengan nama para nabi & sebaik-baik nama ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Semolek-moleknya ialah Haris dan Hamam. Manakala seburuk-buruknya ialah Harb dan Murrah.”

Sunnah keempat adalah sunnah mencukur kepala bayi. Disunatkan pada hari ke-7 kelahiran bayi untuk dicukur kepalanya sehingga habis. Faedahnya sangat banyak dan Nabi s.a.w melakukannya kepada Hassan & Hussin. Begitu juga dengan para sahabat RA.

Sunnah kelima pula adalah menderma berdasarkan berat rambut bayi iaitu dengan menimbang rambut yang dicukur itu, kemudian mendermakan perak dengan timbangan tersebut. Ulamak menyatakan jika hendak didermakan dalam bentuk emas maka ia lebih baik untuk muslimin dan fakir miskin.

Sunnah keenam adalah aqiqah iaitu menyembelih 2 ekor kambing untuk anak lelaki dan seekor kambing untuk anak perempuan. Disunatkan untuk meyediakan sembelihan tersebut dan menjemput orang ramai untuk menikmatinya. Dalam erti kata lain, disunatkan untuk berasa gembira atas kelahiran tersebut dan menjemput orang ramai. Disunatkan juga bagi yang dijemput untuk memenuhi jemputan aqiqah kerana Nabi s.a.w menggalakkan kita memenuhi undangan aqiqah.

Sunnah ketujuh adalah dengan berkhatan. Ia wajib kepada anak lelaki dan digalakkan bagi anak perempuan. Keinginan untuk menyampaikan berita gembira & mengucapkan tahniah. Jika kita mendapat khabar tentang kelahiran bayi baru, disunatkan untuk kita mengatakan “moga Allah s.w.t berkatimu dengan pemberianNya, semoga kau bersyukur kepadaNya, semoga Allah s.w.tkurniakanmu keberkatan & pertunjukNya”. Ini ialah sunnah yang diriwayatkan oleh Imam Hassan ia adalah amalan Nabi s.a.w.

Jika kita pehatikan ketujuh-tujuh sunnah dan amalkannya kepada anak-anak, mereka akan hidup bersama sunnah Rasulullah s.a.w. Alangkah indahnya jika anak-anak ini sejak dari awal kelahiran, mereka dah didedahkan dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Hal demikian akan menggalakkan anak-anak ini untuk terus membesar sambil mengamalkan sunnah Nabi s.a.w. Selain membentuk generasi yang mencontohi Rasulullah s.a.w kerana mereka sangat suci  ketika dilahirkan lalu dihubungkan pula dengan amalan, akhlak & pertunjuk dari Nabi s.a.w. Allah s.w.t telah berfirman “Jika kamu benar-benar cintai Allah s.w.t, ikutilah aku. Nescaya Allah s.w.t akan mengasihimu. (Surah Ali-Imran; Ayat 31)  

Friday 19 October 2012

Jangan Menghampiri ZINA


Peringatan Rasulullah s.a.w berkenaan perihal ZINA; “Pasti akan ada dari umatku suatu kaum yang (berusaha) menghalalkan zina, sutera, khamar (minuman keras) dan alat-alat muzik.” (HR Bukhari) Maksud hadis adalah akan ada di antara umat Nabi Muhammad s.a.w ini beberapa kaum yang sudah tidak kuasa lagi menahan hawa nafsu. Akibat tidak mampu menahan nafsu ini, mereka begitu meremehkan beberapa larangan di atas sehingga merasakan seolah-olah ianya halal.


Kita memahami hadis tersebut sedemikian kerana sesiapapun tentu memahami bahawa perzinaan itu tidak halal atau haram hukumnya. Hanya kerana kelemahan akalnya sahaja ia mahu tunduk dan bersujud di hadapan syaitan dengan melakukan perzinaan. Disebabkan oleh kelemahan hatinya sehingga ketika muncul suara yang mengingatkan buruknya perzinaan, ia tidak kuasa untuk meloloskan diri dari lubang lumpur perzinaan.


Allah s.w.t. telah berfirman dalam (Surah Al-Israa’; Ayat 32; Juzuk 15) yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” Ayat ini cukup jelas menyatakan bahawa Allah melarang manusia menghampiri zina. Maksud menghampiri zina adalah menempuh jalan yang boleh mendekatkan kita ke arah perzinaan. Dengan menggunakan mafhum `muwafaqah', kalau menghampiri sahajapun dilarang maksudnya kalau menempuh jalan-jalan dan faktor-faktor yang menuju kepada perzinaan sahajapun dilarang apalagi melakukan perbuatannya!


Di dalam tafsir Kalamul Mannan, Syeikh Abdur Rahman Nashir As Sa'di berkata: “Larangan Allah untuk menghampiri zina itu lebih tegas daripada sekadar melarang perbuatannya, kerana Allah melarang semua perkara yang menjurus kepada perzinaan dan mengharamkan semua faktor-faktor yang mendorong kepadanya.”

Selanjutnya Syeikh Abdur Rahman menjelaskan: “Al-Faahisyah di dalam ayat di atas adalah sesuatu yang dianggap sangat buruk dan keji oleh Syari'at, oleh akal sihat dan fitrah manusia kerana ia

  • mengandungi pelanggaran terhadap hak Allah
  • merampas hak wanita
  • mencemarkan hak keluarganya atau suaminya
  • merosakkan kehidupan rumah tangga kerana menyebabkan bercampurnya (kacaunya) nasab keturunan.”

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam itu dengan menerima kehinaan, - Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Furqan; Ayat 68-70; Juzuk 19)


Islam menyediakan garis panduan untuk umat manusia menyelamatkan diri daripada terjerumus ke kancah perzinaan. Dalam al-Quran, Allah SWT memerintahkan kaum lelaki menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang haram. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.” (Surah An-Nur; Ayat 30; Juzuk 18)

Imam al-Nawawi menyebut tidak menjadi kesalahan bagi lelaki Muslim melihat wajah wanita jika tidak disengajakan tetapi pandangan kali kedua dan seterusnya tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan yang dibenarkan seperti meminang wanita, menjadi saksi perbicaraan dan urusan jual beli. Dalam hadis lain Rasulullah SAW berpesan kepada Ali: “Wahai Ali, janganlah engkau mengikuti satu pandangan dengan pandangan yang lain. Sesungguhnya untukmu pandangan yang pertama dan bukan untukmu pandangan kali kedua.” (hadis riwayat Abu Daud, dinilai Hasan oleh Albani)

Kenyataan ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menentukan bahagian anak Adam untuk terjadinya zina, tiada siapa yang dapat mengelak daripadanya. Zina kedua-dua mata ialah penglihatan dan zina lidah ialah kata-kata dan hati berkehendak dan ingin merasai (zina). Maka kemaluanlah yang menjayakannya atau mengelak daripadanya”. (hadis riwayat Abu Dawud, dinilai sahih oleh Albani)

Zina mata terjadi dengan melihat apa yang Allah haramkan, zina lidah pula berlaku dengan mengeluarkan kata-kata yang haram dan zina hati terjadi apabila timbul keinginan untuk melakukan zina yang sebenar. Pembahagian zina ini disebut oleh Rasulullah SAW kerana ia adalah mukadimah kepada zina hakiki. Maka penentuannya diukur oleh kemaluan. Jika nafsu menguasai diri, berlakulah zina, tetapi jika nafsu berjaya dijinakkan, zina dapat dielakkan.

Justeru, menundukkan pandangan adalah jalan keluar untuk mengelak diri daripada mukadimah zina seterusnya zina yang nyata. Tidak dinafikan kadangkala pandangan yang dipelihara terlepas lalu mata terlihat apa yang dilarang, tetapi Allah s.w.t Maha Mengetahui akan kelemahan hamba-Nya. Lantaran itu Islam menyediakan ruang untuk insan mencuci ‘dosa kering’ itu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bertakwalah kamu kepada Allah di mana kamu berada dan gantilah sesuatu dosa itu dengan pahala, nescaya ia (pahala) akan menghapuskannya (dosa) dan berakhlaklah terhadap manusia dengan akhlak yang mulia.” (hadis riwayat Tirmizi)


Thursday 27 September 2012

Cinta & Perkahwinan =)




Suatu pagi yang dingin, terjadilah satu perbualan antara seorang cikgu dan pelajarnya.. .

Pelajar: Cikgu, apakah erti cinta..? Bagaimanakah saya boleh mendapatkannya. ..?

Cikgu: Ada sebuah ladang gandum yang luas di depan sana. Maka berjalanlah tapi jangan sesekali kamu berundur. Kemudian ambillah satu ranting. Sekiranya kamu mendapati ranting tersebut sangat menakjubkan, ertinya kamu telah menemui cinta. 

Pelajar tersebut pun berjalan dan tidak berapa lama kemudian dia pun kembali dengan tangan yang kosong.

Cikgu bertanya: Mengapa kamu tidak membawa sebatang ranting pun...?

Pelajar menjawab: Saya hanya terpaksa memilih satu ranting saja, dan sewaktu berjalan saya tidak boleh mengundur ke belakang semula. Sebenarnya saya telah menjumpai satu ranting yang paling menakjubkan namun saya tak tahu apakah yang akan menakjubkan di hadapan sana nanti. Maka saya membiarkan ranting itu lalu saya dapati tidak ada lagi ranting yang paling menakjubkan selain daripada yang saya lihat tadi. Akhirnya saya tidak mengambil sebatang ranting pun.

Cikgu menjawab: Ya, itulah CINTA...


Di hari lainnya pula pelajar tersebut bertanya kepada cikgunya lagi, apa itu perkahwinan. ..?

Cikgu: Di hadapan sana, ada sebuah hutan yang subur maka, berjalanlah kamu. Namun janganlah pula kamu sesekali mengundur ke belakang. Tebanglah sepohon pokok saja. Dan tebanglah jika kamu merasakan bahawa pohon tersebut adalah yang paling cantik, segar dan tinggi kerna kamu telah menemukan apa itu perkahwinan.

Pelajar tersebut pun berjalan, dan tidak berapa lama kemudian dia datang semula dengan membawa sepohon kayu, walaupun pohon tersebut tidaklah berapa segar, cantik dan tinggi pada pandangan cikgu tersebut.

Maka cikgunya pun bertanya: Mengapa kamu memotong pohon seperti ini....?

Pelajar itu menjawab: Kerna berdasarkan pengalaman sebelum ini, saya hanya berjalan separuh daripada hutan tersebut dan saya takut akan kembali dengan tangan kosong. Jadi saya mengambil kesempatan menebang pohon ini lalu dibawa ke sini. Pada pandangan saya ianya adalah pohon yang terbaik buat saya. Saya tidak mahu kehilangannya atau menyesal kerana memilihnya.. .

Maka cikgu itu menjawab: Itulah PERKAHWINAN...


Kesimpulannya, usahlah terlalu memilih cinta, ditakuti anda akan terlepasnya, dan janganlah terlalu memilih jodoh, terimalah pasangan anda dengan seadanya. Tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini. Setiap insan pasti ada KELEBIHAN & KEKURANGANNYA...

Wednesday 26 September 2012

Wuduk


Secara amnya kulit manusia terdiri daripada lapisan epidermis dan lapisan dermis. Lapisan epidermis adalah lapisan yang tidak mempunyai saluran darah dan bergantung kepada bekalan darah daripada lapisan dermis.


Di dalam lapisan dermis kulit manusia, Allah telah menciptakan kelenjar-kelenjar yang dikenali sebagai kelenjar sebum. Kelenjar ini menghasilkan lemak dari semasa ke semasa. Menurut pada saintis, tujuan penghasilan lemak-lemak ini adalah untuk melindungi kulit dan rambut daripada menyerap air. Ia juga mengelakkan kulit dan rambut menjadi kering, berkedut atau merekah. Hebat sungguh ciptaan Allah.


Sel-sel kulit manusia yang mati pula akan ditolak keluar ke lapisan epidermis, seterusnya tubuh badan akan menghasilkan sel baru. Proses ini berlaku sepanjang masa. Boleh dikatakan setiap detik, ada sahaja sel kulit yang mati di atas kulit manusia.


Sel-sel mati ini kemudiannya akan terkumpul bersama-sama lemak-lemak sebum, bakteria dan habuk di atas permukaan kulit. Permukaan kulit akan menjadi kotor. Bakteria-bakteria kemudiannya akan bertindak balas dan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan. Inilah yang berlaku pada kulit manusia setiap hari.


Jika tidak bersihkan, ia akan mengakibatkan jangkitan kepada kulit seperti jerawat, jeragak, kanser dan sebagainya. Di bahagian muka manusia sahaja, para saintis telah menganggarkan terdapat 500 juta bakteria pada setiap inci persegi.


Di dalam surah Al-Maaidah ayat 6, Allah telah berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib;”


Ayat ini merupakan perintah daripada Allah supaya orang-orang Islam berwuduk sebelum menunaikan solat. Wuduk perlu dilakukan dengan air suci. Anggota-anggota badan yang wajib dibersihkan adalah muka, tangan, kepala dan kaki.


Diriwayatkan daripada Humran r.a katanya, “Sayidina Othman bin Affan r.a telah meminta air untuk berwuduk, setelah memperolehi air beliau terus membasuh dua tangan sebanyak tiga kali, kemudian berkumur-kumur serta memasuk dan mengeluarkan air dari hidung. Kemudian beliau membasuh muka sebanyak tiga kali dan membasuh tangan kanannya hingga ke paras siku sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh tangan kirinya sama seperti beliau membasuh tangan kanan kemudian menyapu kepalanya dan membasuh kaki kanan hingga ke paras buku lali sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh kaki kiri, sama seperti membasuh kaki kanannya.”


Kemudian Sayidina Othman r.a berkata, “Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w berwuduk seperti cara aku berwuduk. Aku juga telah mendengar baginda s.a.w bersabda, “Sesiapa yang mengambil wuduk seperti cara aku berwuduk kemudian dia mendirikan sembahyang dua rakaat dan tidak berkata-kata antara wuduk dan sembahyang, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”


Di antara anggota badan yang sunat dibersihkan pula adalah telinga. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Ibnu Abbas berkata, “Rasulullah s.a.w. menyapu kepalanya dengan air dan kedua telinganya iaitu bahagian luar dan dalam.”


Dari Abu Hurairah r.a, katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya umatku akan datang pada hari kiamat, dalam keadaan indah berseri serta bercahaya-cahaya mukanya dan anggotanya yang lain dari kesan wuduknya(yang sempurna)”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Di dalam Al-Umm, Imam As-Syafie menyatakan bahawa beliau lebih suka sekiranya seseorang itu berwuduk mukanya, tangannya dan kakinya tiga kali-tiga kali serta menyapu kepala tiga kali dan meratakan sapuan itu keseluruhan kepala.


Kesemua “proses pembersihan kulit” ini dilakukan setiap kali sebelum solat lima waktu. Sekiranya setiap langkah diulangi sebanyak tiga kali, seseorang akan membasuh anggota wuduknya sebanyak 15 kali sehari. Sekiranya ditambah dengan solat sunat dhuha dan solat sunat witir, bilangan basuhan menjadi 21 kali.


Selain itu, seseorang juga disunatkan agar menggosok-gosok tempat wuduk. Ini adalah berdasarkan sebuah hadith riwayat Abdullah Bin Zaid r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. berwuduk lalu beliau berkata, “beginilah.” Lalu beliau mengosok-gosok anggota wuduknya.


Menggosok adalah mengenakan sedikit tekanan pada anggota wuduk. Aktiviti menekan dan menggosok ini seterusnya akan meransang beberapa titik refleksologi yang dikenali sebagai “Biologically Active Spots”, yang terdapat pada anggota-anggota wuduk. Tekanan-tekanan pada titik istimewa ini seterusnya akan merangsang saraf dan memberi tenaga serta kesegaran baru kepada angota-angota badan yang lain seperti, usus, perut, pundi kencing, sistem peranakan dan lain-lain.


Justeru, kita harus mempelajari tatacara wuduk yang betul. Wuduk yang betul bukan sahaja menjamin kebersihan, malah ia menjaga kesihatan. Dari segi rohani, wuduk yang betul membersihkan dosa. Di dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w. telah menceritakan bahawa ketika seorang muslim membasuh setiap anggota wuduk, kesalahan-kesalahan akan keluar bersama-sama dengan air basuhan tersebut.


Wuduk, ternyata merupakan penjagaan kecantikkan luar dan dalam, zahir dan batin untuk lelaki dan wanita!


Wallahu’alam.