Friday 19 October 2012

Jangan Menghampiri ZINA


Peringatan Rasulullah s.a.w berkenaan perihal ZINA; “Pasti akan ada dari umatku suatu kaum yang (berusaha) menghalalkan zina, sutera, khamar (minuman keras) dan alat-alat muzik.” (HR Bukhari) Maksud hadis adalah akan ada di antara umat Nabi Muhammad s.a.w ini beberapa kaum yang sudah tidak kuasa lagi menahan hawa nafsu. Akibat tidak mampu menahan nafsu ini, mereka begitu meremehkan beberapa larangan di atas sehingga merasakan seolah-olah ianya halal.


Kita memahami hadis tersebut sedemikian kerana sesiapapun tentu memahami bahawa perzinaan itu tidak halal atau haram hukumnya. Hanya kerana kelemahan akalnya sahaja ia mahu tunduk dan bersujud di hadapan syaitan dengan melakukan perzinaan. Disebabkan oleh kelemahan hatinya sehingga ketika muncul suara yang mengingatkan buruknya perzinaan, ia tidak kuasa untuk meloloskan diri dari lubang lumpur perzinaan.


Allah s.w.t. telah berfirman dalam (Surah Al-Israa’; Ayat 32; Juzuk 15) yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” Ayat ini cukup jelas menyatakan bahawa Allah melarang manusia menghampiri zina. Maksud menghampiri zina adalah menempuh jalan yang boleh mendekatkan kita ke arah perzinaan. Dengan menggunakan mafhum `muwafaqah', kalau menghampiri sahajapun dilarang maksudnya kalau menempuh jalan-jalan dan faktor-faktor yang menuju kepada perzinaan sahajapun dilarang apalagi melakukan perbuatannya!


Di dalam tafsir Kalamul Mannan, Syeikh Abdur Rahman Nashir As Sa'di berkata: “Larangan Allah untuk menghampiri zina itu lebih tegas daripada sekadar melarang perbuatannya, kerana Allah melarang semua perkara yang menjurus kepada perzinaan dan mengharamkan semua faktor-faktor yang mendorong kepadanya.”

Selanjutnya Syeikh Abdur Rahman menjelaskan: “Al-Faahisyah di dalam ayat di atas adalah sesuatu yang dianggap sangat buruk dan keji oleh Syari'at, oleh akal sihat dan fitrah manusia kerana ia

  • mengandungi pelanggaran terhadap hak Allah
  • merampas hak wanita
  • mencemarkan hak keluarganya atau suaminya
  • merosakkan kehidupan rumah tangga kerana menyebabkan bercampurnya (kacaunya) nasab keturunan.”

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam itu dengan menerima kehinaan, - Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Furqan; Ayat 68-70; Juzuk 19)


Islam menyediakan garis panduan untuk umat manusia menyelamatkan diri daripada terjerumus ke kancah perzinaan. Dalam al-Quran, Allah SWT memerintahkan kaum lelaki menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang haram. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.” (Surah An-Nur; Ayat 30; Juzuk 18)

Imam al-Nawawi menyebut tidak menjadi kesalahan bagi lelaki Muslim melihat wajah wanita jika tidak disengajakan tetapi pandangan kali kedua dan seterusnya tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan yang dibenarkan seperti meminang wanita, menjadi saksi perbicaraan dan urusan jual beli. Dalam hadis lain Rasulullah SAW berpesan kepada Ali: “Wahai Ali, janganlah engkau mengikuti satu pandangan dengan pandangan yang lain. Sesungguhnya untukmu pandangan yang pertama dan bukan untukmu pandangan kali kedua.” (hadis riwayat Abu Daud, dinilai Hasan oleh Albani)

Kenyataan ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menentukan bahagian anak Adam untuk terjadinya zina, tiada siapa yang dapat mengelak daripadanya. Zina kedua-dua mata ialah penglihatan dan zina lidah ialah kata-kata dan hati berkehendak dan ingin merasai (zina). Maka kemaluanlah yang menjayakannya atau mengelak daripadanya”. (hadis riwayat Abu Dawud, dinilai sahih oleh Albani)

Zina mata terjadi dengan melihat apa yang Allah haramkan, zina lidah pula berlaku dengan mengeluarkan kata-kata yang haram dan zina hati terjadi apabila timbul keinginan untuk melakukan zina yang sebenar. Pembahagian zina ini disebut oleh Rasulullah SAW kerana ia adalah mukadimah kepada zina hakiki. Maka penentuannya diukur oleh kemaluan. Jika nafsu menguasai diri, berlakulah zina, tetapi jika nafsu berjaya dijinakkan, zina dapat dielakkan.

Justeru, menundukkan pandangan adalah jalan keluar untuk mengelak diri daripada mukadimah zina seterusnya zina yang nyata. Tidak dinafikan kadangkala pandangan yang dipelihara terlepas lalu mata terlihat apa yang dilarang, tetapi Allah s.w.t Maha Mengetahui akan kelemahan hamba-Nya. Lantaran itu Islam menyediakan ruang untuk insan mencuci ‘dosa kering’ itu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bertakwalah kamu kepada Allah di mana kamu berada dan gantilah sesuatu dosa itu dengan pahala, nescaya ia (pahala) akan menghapuskannya (dosa) dan berakhlaklah terhadap manusia dengan akhlak yang mulia.” (hadis riwayat Tirmizi)